fb fb fb fb fb

1,000 kakitangan Istana Negara terima daging korban kurniaan Agong

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zailani Hashim (tengah) menyampaikan agihan daging korban kepada kakitangan Istana Negara / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Seramai 1,000 kakitangan Istana Negara termasuk asnaf menerima agihan daging korban menerusi Program Agihan Daging Ibadah Korban Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong 2025M/1446H.

Program berkenaan melibatkan 20 ekor lembu daripada keseluruhan 100 ekor yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, khusus bagi tujuan agihan kepada golongan yang memerlukan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zailani Hashim menyampaikan agihan daging korban kepada kakitangan Istana Negara termasuk pegawai keselamatan dan kakitangan pengurusan fasiliti. Turut hadir, Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini.

Program tersebut merupakan hasil kerjasama antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan (JKMWP).

Ini sekali gus menjadi lambang keprihatinan dan kasih sayang Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah terhadap warga Istana dan rakyat secara umumnya, khususnya golongan memerlukan.

Terdahulu, Majlis Tautan Ukhuwah Aidiladha Istana Negara 2025M/1446H telah diadakan di Dewan Mulia Istana Negara dengan kehadiran semua penerima agihan daging korban.

Majlis turut diisi dengan ceramah agama oleh pendakwah selebriti, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail (PU Riz), sebelum para tetamu dijamu dengan hidangan istimewa sempena sambutan Aidiladha.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN