ALOR SETAR, 10 Jun- Komuniti MADANI diminta supaya mengoptimumkan penggunaan media sosial sebagai platform untuk menyalurkan maklumat sahih mengenai sesuatu isu.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata ia merupakan antara inisiatif bagi memperkasakan Komuniti MADANI dalam usaha menangkis maklumat palsu sekali gus membekalkan maklumat yang tepat di peringkat akar umbi dengan lebih efisien.
Beliau berkata pihaknya juga akan meminta Jabatan Penerangan untuk mengumpul maklumat dan menyalurkan kepada Pengerusi Komuniti MADANI sebelum disampaikan kepada komuniti masing-masing.
"Kita akan mula kenal pasti mereka yang mempunyai keupayaan, ketokohan dan kemampuan untuk membantu dengan lebih mendalam.
"... dan mungkin kita akan ada beberapa modul tambahan yang lebih terperinci supaya mereka boleh menjadi pasukan yang dapat membantu menyampaikan dalam maklumat secara lebih berkesan dalam komuniti", katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Akademi Asas Penerangan (ASAS) Zon Utara A di Alor Setar.
Pelaksanaan ASAS mampu membimbing Komuniti MADANI untuk berhujah dengan lebih baik, ringkas dan tepat bagi memastikan setiap penerangan difahami dengan jelas oleh rakyat.