fb fb fb fb fb

Manfaatkan ledakan teknologi - Raja Muda Perlis

PADANG BESAR, 3 Februari- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar semua pihak memanfaatkan ledakan teknologi digital ke arah memperkukuh lagi kedudukan ekonomi negara.

Pendigitalan terkini seperti analisis data raya, kecerdasan buatan (AI), internet untuk segala-galanya (IoT) dan pengkomputeran dapat mempertingkatkan kecekapan perniagaan dan industri.

Demikian titah baginda selepas menerima sembah mengadap Pengerusi Cement Industries of Malaysia (CIMA) Berhad, Datuk Zaiviji Ismail dan Pengarah Urusannya, Sharuddin Omar Hashim bersempena Program Ziarah Kasih Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) badan korporat berkenaan di Perlis.

Baginda turut meluangkan masa bagi mendengar maklumat berkaitan perkembangan terkini CIMA selain dipersembahkan mengenai impak ekonomi loji simen dan konkrit di Perlis yang telah diasaskan sejak tahun 1972.

Sementara itu, Pengarah urusannya Sharuddin Omar Hashim amat berbangga kerana dalam usia separuh abad ini pelbagai kejayaan telah dicapai selain memberikan sumbangan begitu besar dalam pembangunan fizikal negeri dan juga negara.

CIMA membuktikan keupayaannya dalam pembangunan negara dengan membekalkan bahan-bahan berkaitan simen kepada projek-projek mega di Malaysia, termasuk Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Lebuhraya Utara-Selatan, Nusajaya, Iskandar Malaysia, MRT Lembah Klang dan Projek Jejambat Dua Elektrik (EDTP).

(Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah))

Media Baharu