(Perdana Menteri merasmikan Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa kelima
(ISES) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini)
KUALA LUMPUR, 29 Ogos- Semua pihak berkepentingan diseru memanfaatkan kelebihan daya saing dimiliki Malaysia untuk merangsang perkembangan dan pembangunan industri tenaga lestari.
Tujuannya bagi menyokong aspirasi negara ke arah neutral karbon pada tahun 2050.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob trend semasa dunia dilihat begitu agresif dalam mengurangkan jejak karbon dan memberi impak perkembangan cukup positif buat negara.
Tumpuan dan fokus kepada pembangunan tenaga lestari dapat menarik pelaburan hijau dan bernilai tinggi ke dalam negara ini, selaras kehendak semasa masyarakat global.
"Saya difahamkan bahawa peningkatan penjanaan bekalan elektrik dari sumber tenaga boleh baharu ataupun TBB serta amalan penggunaan tenaga secara cekap dan berhemah merupakan dua aspek penting dalam menangani isu perubahan iklim dunia.
"Penekanan terhadap kedua-dua aspek pembangunan tenaga lestari ini merupakan langkah penyahkarbon turut mendominasi serta mencorak hala tuju pembangunan geopolitik, ekonomi, pelaburan dan perdagangan dunia semasa," katanya.
(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)
Perdana Menteri berucap merasmikan Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa kelima (ISES) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, (KLCC), di sini hari ini.