SELANGOR, 29 Ogos- Hanya agensi berkaitan haji dan umrah sahaja dibenarkan membawa balik air zamzam dari tanah suci dengan tujuan untuk mengagihkannya kepada jemaah
secara percuma.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Marzuk Shaary menegaskan, air zamzam tidak boleh dijual di pasaran, selaras dengan undang-undang Kerajaan Arab Saudi yang melarang air itu diperdagangkan.
(Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Marzuk Shaary)
Tambahnya, penjualan air zamzam yang berada di pasaran kini berkemungkinan air zam-zam palsu yang dihasilkan menggunakan sistem tapisan air tertentu bagi mendapatkan rasa yang sama seperti air zam-zam.
"Untuk dapatkan air zam-zam itu melalui jual beli memang tidak ada, tetapi tahu lah saya mungkin ada yang bawa balik itu yang asli tetapi sekarang ini kena hati-hati kerana kadang-kadang air penapis tertentu ini, rasanya sebiji macam air zam-zam, itu barang kali yang menyebabkan berlakunya pemalsuan. Apa pun kita nak dapatkan air zam-zam ini boleh, tapi jual beli tiada, siapa nak bagi, bagi percumalah," katanya selepas merasmikan Konvensyen Latihan Islam Peringkat Kebangsaan kali kelima dan juga pelancaran Aplikasi Glosari Bahasa Isyarat Islam (i-SIGN) di Bangi.
Sebelum ini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah berjaya menumpaskan satu sindiket membotolkan air zamzam disyaki palsu selepas menyerbu sebuah
kilang di Johor.
i-SIGn adalah aplikasi pertama seumpamanya di negara ini dibangunkan untuk kemudahan golongan orang kelainan upaya (OKU) pendengaran mempelajari istilah Islam dengan lebih tepat.