(Datuk Onn Hafiz Ghazi melancarkan Anak Johor Prihatin hari ini)
JOHOR BAHRU, 29 Ogos- Kerajaan Johor menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) telah membelanjakan 50 peratus atau RM1.5 juta bagi menyantuni 1,188 anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 sejak tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurul Naqiah Fadzil berkata perbelanjaan itu berdasarkan tiga teras yang digariskan dalam program Anak Johor Prihatin, antaranya skim insuran kesihatan dan pendidikan.
Peruntukan itu berlanjutan sehingga umur mereka mencapai 21 tahun dan YPKDT akan membantu jika ada dalam kalangan anak-anak ini hendak menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi, IPT.
"Inilah komitmen kerajaan, pelan jangka panjang untuk anak-anak, kita panggil Anak Johor Prihatin," katanya.
(Nurul Naqiah Fadzil)
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Anak Johor Prihatin yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di sini hari ini.
Program Anak Johor Prihatin dimulakan tahun lalu sebagai usaha kerajaan Johor menyantuni anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 di negeri itu.