LUBNAN, 16 September - Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 menganjurkan program Fun Run sejauh 10 kilometer bagi menyemarakkan semangat patriotik serta semangat kebersamaan dalam kalangan anggota bersempena dengan Hari Malaysia ke-62.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan; selain mengekalkan kecergasan warga pasukan; program tersebut juga simbolik kepada kecintaan terhadap tanah air agar terus bersemangat dalam melaksanakan misi keamanan.
"Fun Run ini bukan sekadar aktiviti kecergasan, malah menjadi simbolik kecintaan warga MALBATT terhadap tanah air serta bukti kesungguhan mereka untuk terus kekal berdisiplin dan bersemangat dalam melaksanakan misi keamanan bawah naungan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)," menurut kenyataan itu.
Pelepasan larian tersebut disempurnakan Komander MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh, yang turut bersama dalam acara berkenaan bersama pegawai dan anggota pelbagai peringkat.