KUALA LUMPUR, 16 September - Program Malam Malaysia LAGENDA 2025 bukan sekadar meraikan Hari Malaysia, malah mengangkat semangat kebersamaan rakyat dengan membantu golongan kurang berkemampuan serta menghidupkan kembali warisan budaya Melayu melalui pemakaian tradisional.
Pengerusi Yayasan Bekas Anggota Perisikan Tentera, Datuk Seri Yahya Saad berkata, program yang menekankan nilai kepedulian sosial selain memperkukuh akar budaya supaya terus diwarisi generasi akan datang.
"Alhamdulillah, saya lihat perancangan yang dibuat sangat baik. Semua yang hadir kelihatan cantik dengan pakaian tradisional masing-masing.
"Program ini bukan sahaja mengingatkan kita kepada akar budaya, malah menjadi wadah membantu golongan asnaf tanpa mengira latar belakang," katanya.
Program ini juga membuka ruang kepada anak-anak syarikat di bawah yayasan untuk terlibat sama selain menjana dana membantu kebajikan masyarakat.
Menurut Datuk Seri Yahya, kolaborasi itu akan diteruskan sehingga hujung tahun dengan sasaran menganjurkan program setiap bulan.
"Insya-Allah, kita akan pastikan program sebegini memberi impak positif kepada masyarakat dan terus menyemarakkan semangat patriotisme," jelasnya.
Sementara itu, pengasas Kopi dan Keju, Ghoffar Md Noor (opat), yang juga antara rakan kolaborasi utama program itu berkata, penganjuran berkenaan merupakan satu langkah awal untuk membina siri program bulanan sehingga hujung tahun.
"Kami berkolaborasi dengan Yayasan Perisikan Tentera Malaysia untuk menghidupkan semangat Hari Malaysia, khususnya melalui pemakaian tradisional," katanya.
Ghoffar turut menyatakan bahawa lokasi program yang dekat dengan ibu kota, serta suasana semula jadi yang tenang dan mendamaikan, memberi peluang kepada masyarakat untuk ‘lari seketika’ daripada kesibukan bandar.
"Dekat sini ada sungai, alam semula jadi yang sesuai untuk istirehat. Kita ambil peluang ini untuk bangkitkan kembali kenangan Hari Malaysia dalam suasana kampung yang menenangkan," tambahnya.
Bertempat di kawasan berhampiran Kuala Lumpur yang dikelilingi suasana alam semula jadi, Program Malam Malaysia LAGENDA 2025 menawarkan pengalaman unik kepada masyarakat bandar untuk beriadah sambil menghayati erti sebenar perpaduan.