fb fb fb fb fb

Ribut petir, hujan lebat berlanjutan dijangka landa Sabah hingga Khamis

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 16 September – Ribut petir berserta hujan lebat dijangka berlanjutan dalam tempoh lebih panjang di beberapa kawasan di timur Sabah sehingga Khamis ini.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Abdul Halim Hamzah menerusi satu kenyataan memaklumkan, ia susulan penumpuan tiupan angin baratan yang berterusan di rantau berkenaan.

"Menurut analisis model ramalan cuaca terkini, garis badai yang membawa ribut petir, hujan lebat serta angin kencang berpotensi berlaku di barat Semenanjung, barat Sabah dan utara Sarawak pada awal pagi.

"Manakala ribut petir di pedalaman serta timur Semenanjung, timur Sabah dan Sarawak pula dijangka pada sebelah petang dan malam," menurut kenyataan itu.

Keadaan itu berkait dengan Monsun Barat Daya (MBD) yang kini berada di penghujung musim dengan tiupan angin barat daya didapati semakin melemah.

"Situasi tersebut mendorong pembentukan awan konvektif di kebanyakan kawasan, malah beberapa tempat telah merekodkan taburan hujan melebihi 80 milimeter sehari," tambah kenyataan itu.

Menerusi kenyataan sama, sebanyak lapan cerun kritikal dikenal pasti berisiko dilanda banjir termasuk di Country Height Apartment, Kampung Madsiang, Kampung Sugud, Kampung Timpangoh, Kampung Keanapan, Kampung Dimbata, Bukit Kulinting serta Kampung Limbahau.

"Susulan itu, tindakan penyiasatan telah dijalankan dengan cadangan pengosongan kediaman di Country Height Apartment Penampang, Kampung Sarapung (Penampang) serta Kampung Kopungit (Kota Kinabalu) dan kawasan lain yang berisiko mengalami pergerakan susulan," menurut kenyataan itu.

Sehingga tengah hari tadi, terdapat enam daerah di Sabah dilanda bencana banjir, kebakaran berskala besar dan tanah runtuh dengan peningkatan jumlah mangsa kepada 2,533 dalam tempoh 24 jam berbanding 428 mangsa, semalam.

Setakat ini, 13 kematian telah direkodkan di Sabah akibat kejadian tanah runtuh manakala hampir 700 anggota tindak balas dan 70 aset telah dikerahkan di kawasan-kawasan bencana di Sabah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI