NAIROBI, 24 November -Malaysia dan Kenya bersetuju memeterai perkongsian strategik, sekali gus mengangkat hubungan dua hala yang telah terjalin lebih enam dekad ke tahap lebih tinggi.
Pengumuman itu dibuat selepas pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Kenya, William Samoei Ruto, di State House, di sini.
Datuk Seri Anwar berkata, perkongsian strategik itu akan diperluas ke bidang teknologi baharu termasuk peralihan tenaga, semikonduktor, pusat data dan transformasi digital.
Malah ia dijangka memberi dimensi baharu kepada hubungan Malaysia–Kenya.
Selain, membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan menjelang lawatan balas Presiden Ruto ke Malaysia tahun depan.
"Saya beri jaminan bahawa sebelum lawatan anda, kami akan memastikan beberapa garis panduan am dan pelaksanaan keputusan dibuat lebih awal, (sama ada) pada Disember, Januari, Februari.
Ada beberapa bulan lagi, tetapi kita mesti menunjukkan bahawa kita boleh melakukannya,” katanya.
Sementara itu, Presiden Ruto berkata, kerjasama baharu ini akan digerakkan melalui struktur lebih jelas termasuk usaha menghapuskan pelbagai halangan perdagangan.
“Kami komited menghapuskan halangan tarif dan bukan tarif serta memperluas eksport kedua-dua negara, sambil memperdalam kerjasama dalam teknologi digital dan pembuatan berteknologi tinggi,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan persetujuan Malaysia untuk memansuhkan tarif ke atas hasil pertanian dan daging lembu Kenya.
Ia langkah yang disifatkan mampu membuka pasaran baharu kepada petani serta pengeluar negara itu.
Ketika ini, eksport utama Kenya ke Malaysia merangkumi teh, kopi, bunga, avokado, titanium, kulit dan daging lembu.
Malaysia pula mengeksport minyak dan lemak boleh dimakan, produk kimia, elektronik, bahan kimia pertanian dan getah.