KUALA LUMPUR, 24 November - Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus mencatat prestasi cemerlang di semua platform media dengan capaian kumulatif sebanyak 758.9 juta tontonan sehingga November tahun ini, menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Beliau menjelaskan bahawa RTM juga berjaya meningkatkan capaian tontonan di media sosial, terutamanya platform seperti TikTok, yang mencatat 258.4 juta tontonan, dengan 121.7 juta tontonan berkaitan bahan berita sahaja.
"RTM juga telah melipat ganda usaha memperkasa platform media sosial atau digital secara ekstensif (meluas) kebelakangan ini. Hasilnya, RTM turut ditonton di platform media sosial terutama yang menerusi TikTok yang mencecah 258.4 juta tontonan. Dalam tempoh yang sama, separuh daripada tontonan ini iaitu 121.7 juta adalah mengenai bahan berita sahaja.
"Secara keseluruhan, tontonan RTM di semua akaun media sosial TV dan radio di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga November 2025 adalah seperti berikut: 258.4 juta tontonan di media sosial, 75.8 juta tontonan di RTM Klik, dengan jumlah pengikut media sosial RTM mencecah 16.2 juta", katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mengenai prestasi RTM di semua platform semasa sesi perbahasan di Parlimen pada Isnin.
Nie Ching menegaskan pencapaian itu membuktikan kredibiliti RTM sebagai penyampai rasmi maklumat kerajaan melalui pendekatan penyiaran moden yang lebih responsif kepada keperluan pengguna digital masa kini.