fb fb fb fb fb

Malaysia yakin resolusi Sesi Tergempar Khas UNGA dapat sokongan

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

PUTRAJAYA, 27 Oktober- Malaysia yakin resolusi pada Sesi Tergempar Khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) akan mendapat sokongan.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata keyakinan itu berdasarkan jumlah negara yang hadir pada sesi berkenaan yang menyatakan kesediaan untuk turut serta dalam usaha menghentikan serangan rejim Israel dan menyegerakan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Kita dapati lebih daripada 100 negara yang telah menyatakan kesediaan mereka untuk turut serta. Ini menunjukkan perkembangan yang positif dan menarik.

"Tetapi langkah yang dibuat oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan negara-negara lain termasuk disokong oleh Malaysia, langkah yang dibuat untuk mengadakan satu Persidangan Khas UNGA dan dalam Persidangan Khas PBB ini dapat sambutan yang baik", katanya kepada media selepas melancarkan Kempen Sumbangan Perkhidmatan Awam kepada Palestin peringkat Kementerian Luar di Putrajaya.

Menurut beliau lagi, negara-negara yang terlibat akan memberikan sokongan berpandukan Resolusi Jordan, iaitu menghentikan serangan di Gaza dan memberikan bantuan kemanusiaan dengan kadar segera.

Antara negara yang memberi sokongan terhadap resolusi ini juga turut termasuk negara bukan Islam yang berpendirian tegas dalam menghentikan keganasan.

Sementara itu, Zambry turut berkata, pihaknya tidak menghalang mana-mana pihak untuk menghantar bantuan ke Palestin, namun mencadangkan agar ia dihantar menerusi Wisma Putra.

Menurut beliau, ini berdasarkan kesulitan proses urusan membawa masuk bantuan yang terhad walaupun Palestin memerlukan sekurang-kurangnya 200 trak penghantaran bantuan sehari.

"Oleh yang demikian, termasuk kalau ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya kita minta supaya diurus secara bersama. Ini kerana kalau kita pergi ke sana, kita tidak boleh hendak masuk ... hanya membenarkan satu laluan sahaja iaitu laluan di Rafah.

"Ini perlukan kerjasama, dalam perbincangan dengan pihak berkuasa di Mesir pun, mereka mengurskan sumbangan daripada lain-lain negara, yang menunggu giliran begitu panjang sekali.

Tambahnya, pihaknya akan memastikan proses pengurusan barang bantuan akan dilaksanakan dengan lebih baik bagi mengawal kos pengendaliannya. Ini menerusi perbincangan dengan pihak Bulan Sabit Merah di Mesir bagi mengetahui keperluan barangan bantuan yang diperlukan, termasuk produk petroleum dan sarung tangan yang diperlukan ketika ini.

ROSLINA BINTI DIN