fb fb fb fb fb

Malaysia ulangi komitmen sokong Afrika Selatan heret Israel ke ICJ

Keadaan di dalam Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague pada 12 Januari susulan pendengaran kes genosid yang difailkan Afrika Selatan terhadap Israel/FOTO AFP

PUTRAJAYA, 12 Disember - Malaysia akan terus menyokong Afrika Selatan dalam tindakan undang-undang terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang berlangsung secara perbicaraan terbuka pada semalam dan hari ini.

Malaysia sebagai negara pihak kepada Konvensyen Genosid turut menyeru Israel untuk menghormati undang-undang antarabangsa dan menamatkan kekejaman terhadap rakyat Palestin dengan serta-merta.

“Malaysia menyambut baik permulaan perbicaraan terbuka kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel di ICJ yang diadakan pada 11 hingga 12 Januari.

“Malaysia mengulangi komitmen untuk memperjuang nasib rakyat Palestin di semua saluran dan menantikan keputusan perbicaraan ICJ ini," menurut kenyataan Wisma Putra hari ini.

Afrika Selatan mengemukakan rayuan segera kepada ICJ untuk memaksa Israel menggantung serta-merta operasi ketenteraannya di Gaza pada 29 Disember 2023.

Israel didakwa di ICJ berikutan serangan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, Palestin.

Afrika Selatan berhujah, Israel melanggar Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1948 selepas Perang Dunia II dan Holocaust.

Dalam penghujahan setebal 84 muka surat kepada ICJ, barisan pendakwa raya mendakwa pengeboman dan pencerobohan Israel ke atas Gaza bertujuan membawa kemusnahan sebahagian besar rakyat, kaum dan etnik Palestin.

Hari kedua akan disambung dengan hujah lisan daripada pihak Israel.

ICJ boleh membuat keputusan dalam masa beberapa minggu.

Keputusannya adalah muktamad dan tidak boleh dirayu.

GRACE AISYAH KEDAYAN