KUALA LUMPUR, 12 Januari - Lebih banyak kolaborasi di antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal dilaksana tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata tumpuan akan diberikan kepada usaha memartabatkan kandungan kreatif tempatan ke pasaran global.
"Kerjasama FINAS dan RTM ini, kita tahu dimana RTM ada platform yang diluar jangka iaitu kepada rakyat dan kita boleh bekerjasama dari segi promosi dan juga membawa kandungan yang ada kualiti ini untuk kerjasama dengan pihak antarabangsa.
"Jadi saya lihat strategi antara FINAS dengan RTM ini memang penting untuk membawa industri ini ke tahap yang lebih tinggi," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perbincangan bersama Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman yakin kerjasama itu bakal menyaksikan landskap industri kandungan kreatif yang lebih berdaya saing setanding industri luar.
"RTM dan FINAS memang sudah berkolaborasi sejak sekian lama, tapi apa yang dibincangkan tadi ialah bagaimana kita hendak bekerjasama untuk set semula, kena ada pendekatan yang sangat-sangat berbeza untuk menentukan kita akan membina satu industri kandungan yang lebih dinamik. Maksudnya jalan cerita, teknik dan sebagainya dan kita kena lihat pasaran dunia," katanya.