PUTRAJAYA, 11 Februari- Malaysia dan Turkiye menyambut baik serta menyokong inisiatif Jepun untuk membiayai pembinaan semula Gaza.
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Turkiye telah menunjukkan komitmen berterusan dalam membangunkan semula Gaza dengan menghantar misi bantuan kepada rakyat Palestin.
Tambahnya, Malaysia akan terus memainkan peranan dalam membantu Gaza, menerusi kelebihan sebagai pengerusi ASEAN tahun ini.
"Turkiye telah menunjukkan kepimpinan dalam usaha pembinaan semula Gaza, Palestin. Seperti yang kita sedia maklum, mereka telah menghantar 100 kapal berisi peralatan sokongan bagi bantuan kemanusiaan, suatu usaha luar biasa yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana negara lain, setakat pengetahuan saya.
Kami akan terus menjalankan tugas kami menggunakan kemudahan yang tersedia, terutamanya di Turkiye dan Mesir buat masa ini. Namun, seperti yang saya nyatakan kepada Presiden, kami juga akan menyokong inisiatif Jepun yang telah menubuhkan dana untuk pembinaan semula Gaza
Mereka kini mengetuai usaha tersebut dan telah meminta kami untuk menjadi pengerusi bersama dalam apa yang dikenali sebagai Pelan Pembinaan Semula Gaza bagi Asia Barat itu," kata Datuk Seri Anwar hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut memaklumkan bahawa Malaysia sedia belajar kepakaran dari Turkiye terutama dalam meningkatkan pengurusan lapangan terbang, digital, kesihatan dan pengurusan bencana
"Turkish Airlines dahulunya mungkin dianggap sebagai syarikat penerbangan yang paling lemah di Eropah. Namun, di bawah kepimpinan anda (Erdogan), anda berjaya mengubahnya menjadi syarikat penerbangan terkemuka.
Malah, lapangan terbangnya kini menjadi antara yang terbesar, paling cekap dan telah menarik begitu ramai pelawat. Suatu transformasi luar biasa dalam tempoh kurang daripada 10 tahun.
Kita perlu belajar dan berkongsi kejayaan ini. Selain itu, dalam sektor tenaga melalui kerjasama dengan PETRONAS dan syarikat berkaitan, serta dalam bidang kesihatan halal, pendigitalan dan pengurusan bencana seperti yang telah kita lihat, usaha ini akan diteruskan," jelas Anwar.