KUALA LUMPUR, 11 Februari – Malaysia kekal di tangga ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 dengan skor 50 mata, sama seperti tahun 2023, menurut Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan.
Indeks yang dikeluarkan Transparency International (TI) ini berdasarkan 9 tinjauan pakar yang menilai tahap rasuah sektor awam di 180 negara menggunakan skala 0 hingga 100 di seluruh dunia.
"Walaupun Malaysia berada di kedudukan yang kekal dan memperoleh skor yang sama, kerajaan hendaklah menyedari bahawa negara kita mempunyai visi untuk mencapai kedudukan di antara 25 buah negara teratas di dunia menjelang tahun 2033.
"Malaysia hendaklah memperoleh skor sebanyak 68-70 mata untuk mencapai kedudukan tersebut.
"Oleh itu, Malaysia perlu meningkatkan skor sekurang-kurangnya 2 mata setiap tahun sehingga 2033 demi mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Tiga negara paling bersih daripada rasuah dalam CPI 2024 ialah Denmark (90 mata), Finland (88 mata) dan Singapura (84 mata).
Manakala Venezuela (10 mata), Sudan Selatan (9 mata) dan Somalia (8 mata) berada di kedudukan tercorot.
Bagaimanapun, Muhammad akui kerajaan telah mengambil langkah signifikan dalam usaha meningkatkan integriti dan membanteras rasuah dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Antaranya pelantikan Ketua Setiausaha Negara yang baharu, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang memperjuangkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) dan mengetuai visi CPI untuk mencapai kedudukan ke-25 teratas menjelang 2033.
"Inisiatif utama lain termasuk kelulusan Akta Audit (Pindaan) 1957 (Akta 62) di Parlimen pada Julai 2024, pindaan Akta Pemegang Amanah untuk mencegah salah laku oleh badan pemegang amanah.
"Dan semakan terhadap Akta Syarikat bagi menguatkuasakan pendedahan mandatori Beneficial Ownership Transparency – dengan keperluan untuk menjadikan pendaftaran didedahkan kepada umum bagi meningkatkan ketelusan," katanya.
Tambah beliau, kedudukan dan skor Malaysia dalam Indeks CPI 2024 kekal tidak berubah kerana isu rasuah masih menjadi kebimbangan utama dalam sektor awam.
Antara faktor utama ialah masih wujud amalan meminta dan memberi rasuah dalam sektor perniagaan.
"Selain itu, tiada perkembangan mengenai dua kes Liabiliti Korporat melibatkan Pristine Offshore (2021) dan Hydroshoppe (2023), yang boleh menyebabkan organisasi komersial kurang memberi perhatian terhadap kepentingan Panduan Tatacara Mencukupi (Adequate Procedures)," katanya.