PORT DICKSON, 11 Februari- Semua penganjur bazar Ramadan dan Aidilfitri di Negeri Sembilan diingatkan agar tidak menawarkan harga sewa tapak yang tinggi.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ia berikutan dengan kadar sewa yang tinggi akan membebankan peniaga.
"Di Negeri Sembilan ini, ada satu kumpulan atau NGO yang akan menyelaraskan. Mereka mohon dari PBT untuk mereka menguruskan. Ini termasuk urusan sampah, pengurusan api air dan pembersihan. Kemudian, mereka sewakan tapak khemah.
Jika ada orang sewakan, saya nak pastikan bahawa jangan keterlaluan. Ada orang kadang-kadang atas nama persatuan dia mohon, sebab persatuan ada kewangan. Saya tahu benda ini berlaku tetapi untuk buktikan ia sesuatu yang sukar," kata Aminuddin kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Agropoint Bukit Pelanduk dan Sambutan Tahun Baru Cina Agrobank di Bukit Pelanduk.
Tambahnya, peniaga juga diingatkan agar menjaga kebersihan tapak bazar bagi mengelakkan tindakan saman serta deposit mereka tidak dipulangkan.