KUALA LUMPUR, 12 September – Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan serantau apabila Malaysia menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN ke-46 (AIPA GA 2025) dari 16 hingga 22 September ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Persidangan berprestij itu bukan sahaja menampilkan sesi perbahasan Parlimen, malah turut membuka peluang pelaburan melalui pameran perniagaan berskala besar yang menghimpunkan pelbagai sektor utama.
Presiden AIPA GA 2025, Tan Sri Dr. Johari Abdul berkata lebih 25 negara pemerhati telah mengesahkan penyertaan, sekali gus memperkukuh jaringan diplomatik dan ekonomi Malaysia.
“Negara pemerhati bukan sahaja menyertai sesi rasmi, tetapi juga berpeluang berinteraksi dengan pemain industri, bertukar kad perniagaan dan meneroka kerjasama. Apabila pulang ke negara masing-masing, mereka mungkin melihat Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan di ASEAN,” katanya semasa sesi taklimat bersama media di sini hari ini.
Johari yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat memaklumkan, persidangan itu turut menyaksikan penganjuran Model AIPA ke-5 yang buat julung kali diadakan di luar Jakarta, menghimpunkan mahasiswa serta akademik ASEAN bagi membincangkan isu-isu penting yang diputuskan di peringkat Parlimen.
Dengan tema “Parlimen Menerajui Pembangunan Terangkum dan Mampan ASEAN”, AIPA GA 2025 dijangka memberi impak lebih meluas terhadap kerjasama serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025 dijadual merasmikan persidangan pada 18 September ini.