fb fb fb fb fb

NATC Sungkai dijangka lengkapkan ekosistem automotif Perak

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yakin pembangunan NATC di Sungkai akan melonjakkan kedudukan Perak dalam industri automotif negara. Foto- RTM

IPOH, 12 September - Kerajaan negeri yakin Pusat Pengujian Automotif Kebangsaan (NATC) di Sungkai bakal menjadi pelengkap penting kepada ekosistem industri automotif di Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kewujudan pusat tersebut akan mengukuhkan lagi kedudukan Perak sebagai hab automotif baharu negara.

Menurut beliau, NATC akan melengkapkan rantaian pengeluaran automotif sedia ada, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan baharu ke negeri itu.

“Apabila NATC diwujudkan di Sungkai, ia akan menjadi pelengkap ekosistem automotif dan mampu menggamit lebih banyak industri berkaitan untuk datang ke Perak. Sebab itu kita berusaha memastikan projek ini dilaksanakan di Sungkai,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran KLK Techpark @ Tanjung Malim, di sini.

Dalam pada itu, KLK Techpark dijangka menjadi hab perindustrian bersepadu terbesar di Tanjung Malim, sekali gus melonjakkan Perak sebagai destinasi pelaburan baharu.

Projek mega bernilai RM3.2 bilion itu turut melengkapkan pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), selain dijangka menarik pelaburan berbilion ringgit serta mewujudkan ribuan peluang pekerjaan.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN