KULAI, 12 September -Isu penglibatan wanita dalam Global Sumud Flotilla ke Palestin, tidak wajar dijadikan isu perdebatan awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, semua pihak perlu bersolidariti mengikut kemampuan masing-masing.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut memutuskan, hukum penyertaan wanita dalam flotila misi kemanusiaan seperti GSF, adalah harus dan tidak salah.
"Mereka yang ada kemampuan untuk pergi ke sana bagi mengagihkan bantuan, itu kemampuan dan kudrat yang mereka ada. Sama ada lelaki ataupun perempuan. Kita yang tak mampu yang ada di sini, kita berdoa mengikut kemampuan masing-masing. That's the least yang kita boleh buat. Yang kita tak nak ialah mempersoalkan," katanya kepada pemberita, di sini.
Datuk Dr. Mohd Na’im turut menyeru rakyat mendoakan keselamatan semua sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, kejadian dua kapal dinaiki sukarelawan Malaysia yang terbakar akibat serangan dron di perairan Tunisia dilaporkan selamat.
Sementara itu, sebanyak RM170,000 disumbangkan bagi pembelian van jenazah dan pengimarahan Surau Nurul Haq, Kampung Sungai Sayong, di sini.
Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, sumbangan itu bagi menampung kerugian van jenazah yang musnah selepas dicuri, minggu lalu.
Jelasnya, daripada jumlah itu, RM100,000 disalurkan Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, manakala RM50,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dan RM20,000 oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia.
"RM170,000 yang itu untuk pembelian van jenazah yang baru. Menggunakan wang yang disumbangkan ini bertujuan mengadakan program-program yang boleh dapat menyatukan hati dan keseluruhan penduduk di kedua-dua kampung ini," katanya.
Beliau turut merakam penghargaan kepada Pejabat Parlimen Kulai, yang lebih awal menyalurkan sumbangan kilat berjumlah RM20,000.
Terdahulu, seorang lelaki dipercayai mencuri van berkenaan ditahan polis, selepas kenderaan itu terbabit kemalangan dengan lori ketika cuba melarikan diri pada 4 September lalu.