fb fb fb fb fb

Malaysia tingkat kerjasama serantau perangi dadah

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sesi ke-67 Suruhanjaya mengenai Dadah Narkotik di Vienna, Austria

KUALA LUMPUR, 14 Mac - Malaysia akan terus meningkatkan kerjasama antarabangsa dan serantau dalam memerangi masalah dadah di dunia selaras dengan perjanjian antarabangsa dan serantau serta Pelan Strategik Anti Dadah Malaysia 2021-2025.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata usaha itu akan terus diperkukuhkan untuk mencegah jenayah berkaitan dadah. 

"Malaysia akan terus mengukuhkan kerjasama dengan negara lain dan organisasi antarabangsa untuk mengekang pengilangan, pengeluaran dan pengedaran dadah terlarang.

"Selain memudahkan pertukaran maklumat, kepakaran dan amalan terbaik untuk meningkatkan usaha kolektif untuk mencegah jenayah berkaitan dadah," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sesi ke-67 Suruhanjaya mengenai Dadah Narkotik di Vienna, Austria. 

Tambah Saifuddin, Malaysia akan terus memperluaskan kerjasama dua hala, khususnya dengan negara jiran terdekat dan mengambil bahagian secara aktif dalam inisiatif serantau dan antarabangsa untuk menangani isu dadah terlarang.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN