KUALA LUMPUR, 8 September - Malaysia tidak akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Afghanistan susulan insiden gempa bumi yang berlaku baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kedutaan Afghanistan di Malaysia.
“Mereka mengucapkan terima kasih atas tawaran kita untuk menghantar pasukan SMART ke Afghanistan. Namun, mereka memaklumkan tidak memerlukan pasukan penyelamat ketika ini,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan Afghanistan memohon tiga bentuk bantuan utama, iaitu penghantaran pasukan perubatan ke kawasan terjejas, bantuan kewangan dan barangan keperluan asas, serta sokongan NGO Malaysia dalam kerja-kerja pembinaan semula kawasan yang terjejas akibat gempa bumi.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menegaskan, meskipun pasukan SMART tidak digerakkan, Malaysia kekal komited menyalurkan bantuan kemanusiaan dan akan menyelaras sokongan yang sesuai melalui NADMA, Kementerian Luar dan agensi berkaitan.