fb fb fb fb fb

Reformasi perkhidmatan awam lonjak daya saing Malaysia

Shamsul Azri Abu Bakar/RTM

OSAKA, 8 September- Reformasi Malaysia dalam pentadbiran perkhidmatan awam menjadi pemangkin utama ke arah meningkatkan daya saing global negara serta memperkukuh keyakinan pelabur.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kedudukan Malaysia dalam Indeks Daya Saing Dunia (IMD) melonjak 11 anak tangga daripada ke-34 kepada ke-23, didorong oleh tadbir urus yang lebih baik serta keberkesanan pentadbiran kerajaan.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) menegaskan, inisiatif berkenaan telah menyelaraskan 166 proses, menjimatkan perbelanjaan kerajaan selain mengurangkan masa dan kos bagi urusan perniagaan serta pelabur.

"Kami juga telah menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur, yang bermaksud sekiranya kita mahu melaksanakan transformasi perkhidmatan awam, ia perlu melibatkan tiga peringkat kerajaan -- Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

"Sehingga kini, transformasi ini lebih banyak diterajui oleh kerajaan Persekutuan, namun dengan deklarasi ini, semua peringkat kerajaan komited untuk bergerak bersama," katanya.

Shamsul Azri berkata demikian dalam sidang media selepas sesi lawatan di Expo 2025 di Osaka, Jepun.

SITI AISHAH BINTI MD ISA