KUALA LUMPUR, 8 September - Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 diluluskan Dewan Negara hari ini menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan 33 Senator bersetuju, lapan tidak bersetuju, dua tidak mengundi dan 14 tidak hadir.
RUU itu bertujuan memperuntukkan kewajipan, tanggungjawab, tadbir urus dan ketelusan dalam perolehan kerajaan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memberi jaminan bahawa kementerian mengambil kira cadangan khususnya dalam menggubal peraturan dan arahan supaya memperkukuh kriteria bagi perolehan secara rundingan terus dan menambah baik penzahiran penganugerahan perolehan secara rundingan terus.
Beliau berkata berbeza daripada keadaan semasa, keputusan Menteri Kewangan kini boleh dicabar dan dikaji semula melalui proses Panel Kajian Semula dan seterusnya Tribunal Rayuan Perolehan yang berkecuali.
"Pembaharuan ini merupakan satu reformasi besar yang menterjemah komitmen Kerajaan Madani dalam menambah baik dan mengemas kini peraturan sedia ada bagi meningkatkan tatakelola dalam kesan perolehan kerajaan. Ini adalah satu perubahan yang kita perjuangkan bahawa tadbir urus bukan untuk memperkaya kelompok tetapi memperkukuh anak bangsa secara seluruhnya.
"Kita teguhkan tekad supaya rakyat tidak lagi dihantui salah guna kuasa dan pembaziran tetapi yakin bahawa kerajaan benar-benar berkhidmat untuk mereka. Intipatinya mudah, wang rakyat adalah amanah. RUU ini memperkukuhkan tadbir urus untuk menjaganya," katanya.
“Tambahan pula, RUU itu turut memperkenalkan tindakan punitif atas sebarang pelanggaran dan Menteri Kewangan juga tidak terkecuali daripada akauntabiliti sekiranya gagal menzahirkan kepentingan atau campur tangan dalam proses perolehan,” tegasnyaketika menggulung RUU Perolehan Kerajaan 2025 di Dewan Negara hari ini.
Datuk Seri Amir Hamzah berkata keberkesanan penguatkuasaan tindakan punitif itu juga diperkukuh melalui mekanisme pemantauan yang teliti serta kerjasama erat antara Kementerian Kewangan dengan agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Sementara itu, beliau berkata RUU itu tidak dibentangkan secara tergesa-gesa kerana usaha kerajaan untuk menggubalnya telah bermula sejak 2018 sebagai langkah reformasi institusi, namun tergendala seketika disebabkan pertukaran pentadbiran kerajaan pada 2020 sehingga November 2022.