fb fb fb fb fb

Malaysia tidak akan kompromi soal dasar negara – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 21 Julai – Malaysia tidak akan berkompromi dalam mempertahankan dasar negara, termasuk dasar bumiputera, meskipun ketika berdepan rundingan tarif perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, walaupun kerajaan menghargai kepentingan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Amerika Syarikat, namun tetap berpegang kepada prinsip bahawa rundingan perlu mempunyai batas atau ‘redline’ yang tidak boleh dikompromi.

“Walaupun kita hadapi sekarang dalam rundingan dengan Amerika Syarikat dalam soal tarif Presiden Trump.

"Itu perkara yang kita beri penekanan. Beberapa kali Jemaah Menteri (berbincang), tetapi kita ada pendirian, kita ada ‘redline’, risiko kita sedia hadapi", katanya.

“Apa dia ‘redline’ itu? Jangan ganggu soal dasar negara. Dia kata kalau dasar Bumiputera itu diskriminasi. Tidak. Kita kata tidak. Malaysia ini tegak dengan beberapa dasar yang kita terima pakai. Tapi ini ‘redline’ kita", katanya demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan dengan Warga Jabatan
Perdana Menteri di Putrajaya.

Menurut Perdana Menteri, antara 'redline' yang dipertahankan termasuklah sistem perolehan kerajaan, yang memberi ruang dan keutamaan kepada syarikat tempatan.

Tambah beliau, walaupun Amerika Syarikat merupakan antara pelabur terbesar di negara ini, Malaysia tetap meneruskan hubungan dagang strategik dengan negara lain seperti China, negara ASEAN dan Asia yang lain.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyentuh kejayaan hubungan diplomatik yang membuka peluang baharu kepada syarikat Malaysia di luar negara.

Antaranya, kerjasama antara Malaysia dan Brazil yang bermula hasil pertemuan beliau bersama Presiden Luiz Inácio Lula da Silva dua tahun lalu.

“Presiden Lula telefon saya dan tawarkan satu telaga minyak khas untuk Petronas. Kini Petronas telah memulakan operasi cari gali di Brazil. Ini antara hasil diplomasi yang menguntungkan negara,” ujarnya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD