fb fb fb fb fb

86.4% projek pelaburan dilulus sejak 2022 sudah dilaksanakan

Foto RTM

PUTRAJAYA, 21 Julai –Sebanyak 86.4 peratus daripada lebih 3,000 projek pelaburan yang diluluskan sejak 2022 telah berjaya dilaksanakan, sekali gus menepis dakwaan bahawa pengumuman pelaburan kerajaan hanyalah gimik semata-mata.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar pelaksanaan yang tinggi membuktikan komitmen kerajaan memastikan setiap pelaburan membawa hasil nyata dan memberi manfaat kepada ekonomi serta rakyat.

“Daripada 3,494 projek yang diluluskan sejak 2022, sebanyak 3,095 memulakan operasi dengan kadar pelaksanaan mencecah 86.4 peratus.

“Orang kata pelaburan berbilion tak nampak hasil. Ini buktinya, projek sudah berjalan. Untuk 2023 sahaja, kadar pelaksanaan ialah 90.6 peratus.

"Tahun 2024 pula 79.2 peratus, manakala bagi suku pertama 2025, sebanyak 49.8 peratus projek baharu sedang berjalan katanya demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri , sebahagian besar pelaburan tersebut tertumpu dalam sektor pembuatan, khususnya berkaitan teknologi digital dan hijau, yang kini menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) di bawah MITI telah menerima 28,166 permohonan projek setakat ini, dengan kadar penyelesaian mencecah 99 peratus.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD