fb fb fb fb fb

Malaysia terus komited perjuangkan keadilan, hak kedaulatan rakyat Palestin

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 24 Jun- Malaysia terus komited dan tidak berganjak daripada usaha memastikan kekejaman Zionis di Palestin dihentikan sekali gus mempertahankan hak rakyat negara itu.

Justeru Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia menyokong penuh sebarang langkah ke arah itu termasuk usul Amerika Syarikat (AS) bagi penyelesaian gencatan senjata yang telah diluluskan Majlis Keselamatan PBB.

Beliau berkata usul itu disokong 14 daripada 15 negara anggota dengan Rusia mengambil pendirian berkecuali, mengalu-alukan cadangan gencatan senjata tiga fasa.

"Saya sendiri ada berjumpa sendiri dengan (Setiausaha Negara AS, Antony) Blinken di Amman, Jordan dan saya tegaskan kepadanya "bola kini dalam tangan anda".

"Kita mahu supaya usul dia yang diterima PBB itu dilaksanakan. Sama ada Israel terima atau tidak terima, terpulang kepada AS, sebab mereka bersekutu, dan sekutunyalah yang sepatutnya memastikan sekutunya Israel itu penuhi dan mematuhi resolusi yang sudah dibuat Majlis Keselamatan PBB, " katanya.

Mohamad berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Hadi bertanyakan sama ada kerajaan akan menyemak semula pendirian negara terhadap sokongannya kepada penyelesaian dua negara bagi menamatkan konflik di Palestin, ketika rejim Israel terus berkeras menolak cadangan disokong banyak negara itu.

ZEHRA BINTI ZAMBRI