KUALA LUMPUR, 29 April – Malaysia telah dinobatkan sebagai Peneraju Data Nombor Satu Dunia dalam penarafan Open Data Inventory (ODIN) 2024/2025, selepas memperoleh skor keseluruhan 90, sekali gus mengatasi 198 negara lain termasuk Singapura, Finland, Denmark dan Poland.
Malaysia turut mencatatkan skor keterbukaan data sebanyak 99, yang mencerminkan tahap ketelusan dan kebolehcapaian data rasmi yang tinggi.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin pencapaian tersebut merupakan lonjakan besar berbanding kedudukan ke-67 pada penilaian ODIN 2022/2023.
"Ini membuktikan keupayaan Malaysia untuk bersaing di peringkat global, khususnya dalam aspek keterbukaan dan liputan data rasmi," katanya menerusi kenyataan hari ini.
ODIN, yang diterbitkan oleh Open Data Watch, menilai tahap keterbukaan dan liputan data rasmi sesebuah negara berdasarkan ketersediaan penunjuk utama, perincian mengikut masa dan geografi, serta kemudahan akses kepada data dalam format mesra mesin.
Penilaian turut melibatkan kehadiran metadata, opsyen muat turun pukal dan ketersediaan Application Programming Interface (API) bagi memudahkan integrasi dan penggunaan semula data oleh pihak ketiga.
Statistik dinilai berdasarkan data yang diterbitkan oleh Pejabat Statistik Negara (NSO) serta portal rasmi kerajaan yang diiktiraf sebagai sumber data rasmi.