KUCHING, 1 November - Malaysia akan memperhalusi undang-undang baharu Australia berhubung penetapan had umur menggunakan telefon pintar dan media sosial.
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Syukri berkata langkah itu bertujuan melindungi kanak-kanak dan individu bawah umur daripada terpengaruh unsur yang boleh memudaratkan.
"Situasi setiap negara berbeza. Jadi kita akan meneliti untuk melihat kesesuaian pelaksanaannya," jelasnya.
Menurut beliau, Australia merancang untuk menguatkuasakan undang-undang baharu itu Disember depan.
Datuk Seri Nancy bercakap kepada media selepas Perasmian Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini, hari ini.
Rabu lepas Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan permainan dalam talian mempengaruhi kejadian seorang kanak-kanak dikelar selepas telefon bimbit yang digunakan abangnya untuk permainan itu dirosakkan oleh mangsa.