SHAH ALAM, 1 November - Isu penyalahgunaan perkhidmatan penghantaran kurier bagi tujuan jenayah dan penyeludupan perlu dibanteras.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata kawal selia dalam industri tersebut perlu diperkukuh bagi memastikan keselamatan perkhidmatan, integriti penghantaran dan kepatuhan kepada undang-undang.
Beliau berpandangan ada keperluan untuk Persatuan Syarikat-Syarikat Penghantaran Expres Malaysia (AMEC) untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam isu terbabit.
"Berdasarkan fakta, data dan juga laporan tindakan yang telah diambil, di situ kita dapat lihat modus operandi penjenayah. Sekiranya ada kelompangan dalam proses yang disalahgunakan, maka kita minta supaya sektor kurier ambil tahu, mengambil maklum dan segera menyelesaikan.
"Kita ada beberapa NGO yang turut memaklumkan tentang salah guna sektor kurier untuk penghantaran contoh haiwan-haiwan yang mungkin spesis terancam. Bukan hanya kepada JKDM atau PDRM, tetapi juga kerjasama dengan NGO.
"Saya alu-alukan adalah kesungguhan pihak AMEC untuk sebagai permulaan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kastam dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik supaya kita faham dengan menyeluruh," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Kurier Negara Tahun 2025 di Shah Alam.
Menerusi ucapannya, Datuk Fahmi memaklumkan pada Julai lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya merampas 42,130 gram pil ecstasy bernilai lebih RM7 juta dalam dua operasi berasingan.
Sindiket berkenaan dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier dengan bungkusan palsu dan alamat penerima tidak wujud untuk mengaburi pihak berkuasa.
Selain itu pada Jun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di Sarawak dengan rampasan keseluruhan berjumlah RM8.53 juta.
Dadah tersebut dibawa dari Semenanjung Malaysia menggunakan perkhidmatan kurier sebelum diedarkan di pasaran tempatan.