fb fb fb fb fb

Malaysia tegas perkukuh kerjasama pertahanan serantau

Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pertahanan ASEAN Plus 2025 yang berlangsung, di Kota Tinggi, Johor pada Khamis, anjuran Kementerian Pertahanan (MINDEF), menumpukan kepada penilaian kemajuan tujuh Kumpulan Kerja Pakar bagi tempoh 2024 hingga 2027/Foto MINDEF

KOTA TINGGI, 26 September – Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pertahanan ASEAN Plus 2025 yang berlangsung, di sini pada Khamis, anjuran Kementerian Pertahanan (MINDEF), menumpukan kepada penilaian kemajuan tujuh Kumpulan Kerja Pakar bagi tempoh 2024 hingga 2027.

MINDEF menerusi kenyataan memaklumkan, penilaian tersebut melibatkan bidang keselamatan marin, bantuan kemanusiaan, pengurusan bencana, perubatan ketenteraan, operasi pengaman serta tindakan kemanusiaan terhadap periuk api.

2609 JHR MINDEF MESYUARAT PERTAHANAN 2Mesyuarat dipengerusikan Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali/Foto MINDEF

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali, dengan penyertaan pegawai kanan pertahanan dari 18 negara termasuk Rusia, Amerika Syarikat dan Timor Leste.

Dalam ucapannya, Datuk Lokman menegaskan komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama rapat dengan negara anggota ASEAN dan negara PLUS, selain menekankan kepentingan dialog strategik.

“Komitmen ini melengkapi kerjasama praktikal di bawah kerangka Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus), sekali gus mencerminkan semangat kesepaduan demi kemakmuran serantau,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN