fb fb fb fb fb

Malaysia di landasan tepat capai sasaran 31% Tenaga Boleh Baharu -TPM Fadillah

Malaysia kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran peningkatan campuran kapasiti terpasang penjanaan sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam sistem pembekalan elektrik negara/Foto Hiasan/Bernama

SHAH ALAM, 26 September – Malaysia kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran peningkatan campuran kapasiti terpasang penjanaan sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam sistem pembekalan elektrik negara.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata beliau optimis sasaran 31 peratus menjelang akhir tahun ini mampu dicapai, memandangkan ketika ini campuran TBB telah mencecah 30 peratus.

Menurutnya, sasaran itu merupakan komitmen negara dalam menjamin sekuriti tenaga menerusi pengurangan kebergantungan kepada bahan api fosil, selain membina daya tahan ekonomi terhadap pasaran tenaga global yang tidak menentu.

2609 FADILLAH TENAGA BOLEH BAHARUTimbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof

“Buat masa ini, bagi Tenaga Boleh Baharu, kita telah mencapai kira-kira 30 peratus dan sasaran menjelang Disember 2025 ialah 31 peratus. Jadi, kita sepatutnya dapat mencapainya pada akhir Disember 2025.

“NETR telah dilancarkan pada tahun 2023. Setakat ini, kita berjaya menarik kira-kira RM25 bilion pelaburan, termasuk RM2 bilion daripada dana benih kerajaan. Kita juga telah memperkenalkan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga yang diluluskan di Parlimen. Rang Undang-undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) juga telah dibentangkan.

“Bagi tenaga solar, setakat ini kita telah mengaktifkan kira-kira 4,000 megawatt melalui pemerolehan solar berskala besar. Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) yang dilancarkan pada 2024 juga telah mendapat sambutan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Projek Solar Kediaman oleh Sime Darby di bawah Program Mekanisme Pengagregatan Tenaga Boleh Baharu Komuniti (CREAM) di Shah Alam.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Malaysia menyasarkan peningkatan campuran kapasiti terpasang daripada 29 peratus kepada 35 peratus menjelang tahun 2030.

Melalui Program CREAM, pemilik rumah boleh memajak atau menyewakan ruang bumbung kediaman kepada pihak ketiga untuk digabungkan dengan ruang bumbung lain (aggregation) bagi membangunkan sistem jana kuasa solar PV.

Inisiatif tersebut membolehkan bekalan elektrik hijau dihasilkan untuk pengguna hijau setempat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN