fb fb fb fb fb

Dua maut, sembilan cedera parah dalam nahas di Betong

FOTO JBPM SARAWAK

BETONG, 26 September - Dua lelaki maut manakala sembilan lagi cedera parah dalam kemalangan jalan raya di Pusingan P berdekatan Klinik Kesihatan Skrang, pagi tadi.

Kejadian melibatkan sebuah van yang dinaiki lapan individu dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang membawa tiga penumpang termasuk seorang kanak-kanak.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Betong, Abang Muhammad Fhazil Abang Abdul Manaf, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Jaya Ganesh Janarthanan, 48 tahun, dan Ahmad Afiq Mohd Salleh, 42 tahun.

"Semua mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Betong untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 11.59 pagi dan enam anggota bomba bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi.

Operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang mengambil masa hampir sejam turut dibantu oleh pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bawah agensi SAHABAT.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE