fb fb fb fb fb

UTS cecah 5,000 pelajar, capai sasaran 2027 dua tahun lebih awal

Universiti Teknologi Sarawak (UTS) mencatat satu lagi pencapaian penting apabila jumlah pelajarnya kini mencecah 5,003 orang

SIBU, 26 September - Universiti Teknologi Sarawak (UTS) mencatat satu lagi pencapaian penting apabila jumlah pelajarnya kini mencecah 5,003 orang, sekaligus mencapai sasaran kerajaan negeri untuk 2027, dua tahun lebih awal.

Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr. Khairuddin Abdul Hamid, berkata perkembangan pesat ini membuktikan keyakinan masyarakat terhadap universiti milik penuh kerajaan Sarawak yang beroperasi secara swasta.

“Sekadar perbandingan, selepas COVID-19 pada 2022, jumlah pelajar hanya 2,229 orang. Kini ia meningkat 2.24 kali ganda dalam tempoh tiga tahun sahaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Sumpah Ikrar Mahasiswa Sarjana Muda di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, hari ini.

Beliau memaklumkan bagi pengambilan September tahun ini sahaja, UTS menerima 611 pelajar baharu terdiri daripada 588 pelajar sarjana muda dan 23 pascasiswazah. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengambilan tahun ini 1,747 pelajar, rekod tertinggi sejak penubuhan universiti berkenaan.

Walaupun bilangan pelajar meningkat, UTS tetap menitikberatkan kebajikan, keselamatan dan kualiti pendidikan.

Semua program akademiknya diiktiraf MQA, Kementerian Pendidikan, universiti antarabangsa, manakala pengurusan universiti pula diperakui ISO.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE