fb fb fb fb fb

Malaysia tampil peneraju serantau pembangunan hartanah dan bandar

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof melawat reruai pameran selepas merasmikan Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) 2025 dan Pameran Senibina Antarabangsa, Reka Bentuk Dalam dan Bangunan (ARCHIDEX) Ke-24 2025 hari ini/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Julai - Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) dan Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan (ARCHIDEX) 2025 yang berlangsung serentak minggu ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembangunan hartanah dan perbandaran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kedua-dua acara itu bukan sekadar platform untuk mempamerkan inovasi, malah berperanan penting dalam memajukan kerjasama serantau dalam sektor persekitaran binaan.

Beliau turut menyeru agar kerjasama yang terjalin menerusi penganjuran ini dapat diteruskan melalui penubuhan kumpulan kerja, penyelidikan bersama, pelaburan serta semakan kemajuan tahunan.

Datuk Seri Fadillah berkata demikian semasa merasmikan acara berkenaan di ibu negara, petang tadi.

Persidangan AREC 2025 yang bertemakan "The Real Estate Renaissance: Innovate, Integrate, Impact" menggariskan pelbagai cabaran dan peluang pembangunan, terutamanya dalam konteks pertumbuhan pesat populasi bandar.

Dianggarkan lebih 70 juta penduduk bandar baharu akan wujud di rantau ini menjelang 2030.

Antara pengisian utama termasuk sesi dialog berprofil tinggi yang menghimpunkan menteri-menteri perumahan ASEAN, datuk bandar, pemaju utama serta pakar kelestarian.

Sesi tersebut membuka ruang kepada pertukaran idea berani untuk membentuk landskap bandar masa depan ASEAN.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI