fb fb fb fb fb

Jualan Rahmah MADANI lebih kerap bukti kerajaan cakna keperluan rakyat

Datuk Fahmi Fadzil menyaksikan pengumuman khas Perdana Menteri pagi tadi

PAPAR, 23 Julai – Pengumuman khas Perdana Menteri berhubung bantuan dan inisiatif baharu disifatkan bukti kerajaan cakna serta prihatin terhadap keperluan rakyat, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata ini termasuk memperluas lokasi Jualan Rahmah MADANI yang meliputi 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

“Selain daripada SARA untuk Semua, peluasan Jualan Rahmah ini adalah usaha berganda kerajaan bagi membantu rakyat berdepan kos sara hidup,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Taklimat Telekesihatan dan Dron Untuk Penjagaan Kesihatan Masa Depan di sini, hari ini.

Fahmi turut mengulas penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter yang diumumkan Perdana Menteri sebagai satu bentuk pulangan manfaat kepada rakyat hasil kestabilan ekonomi negara.

“Ini hasil daripada kestabilan yang dicapai selepas lebih dua tahun kerajaan berusaha mengatasi defisit fiskal, memperbaiki tadbir urus dan memulihkan keyakinan pelabur,” katanya.

Tambahnya, dua agenda penting juga bakal menyusul iaitu Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Belanjawan MADANI 2026 yang dijangka mengandungi inisiatif lebih menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan jualan Rahmah MADANI digandakan kepada RM600 juta berbanding RM300 juta.

Peruntukan itu turut meningkatkan kekerapan jualan MADANI dan menjual pelbagai jenis barangan keperluan harian.

GRACE AISYAH KEDAYAN