KUALA LUMPUR, 23 Julai - Penjaja di sembilan tapak perniagaan di Desa Pandan boleh menarik nafas lega apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan untuk menangguhkan tindakan perobohan gerai yang dijadualkan sebelum ini, susulan rundingan bersama pelbagai pihak.
Jaminan itu diberikan selepas Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani membawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif turun padang meninjau kawasan berkenaan hari ini.
Menurut Datuk Seri Johari, hasil lawatan itu membawa kepada persetujuan agar pembangunan infrastruktur khususnya pembesaran Jalan 2/76D, dapat diteruskan tanpa menjejaskan sumber rezeki penjaja kecil.
Namun, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menegaskan bahawa struktur gerai perlu disusun semula agar mematuhi peraturan DBKL.
"Buat masa ini, saya sudah bincang dengan Menteri Wilayah dan Datuk Bandar, kita tidak akan merobohkan gerai."
"Namun, ada struktur dibina atas tanah yang kelihatan seperti kedai kekal, bukan gerai penjaja.
"Pihak berkuasa akan mempertimbangkan untuk melesenkan semula tapak ini, dengan syarat susun atur diselaraskan," katanya pada sidang media selepas sesi libat urus di lokasi berkenaan.
Isu lain yang turut dibangkitkan ialah sebuah jambatan kecil yang merentasi longkang besar yang asalnya untuk pejalan kaki dan motosikal namun kini turut digunakan oleh kenderaan berat, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan.
Datuk Seri Johari mencadangkan agar jambatan itu ditutup atau dilengkapi penghadang khas, namun perkara tersebut masih perlu dirunding bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Sebelum ini, DBKL mengarahkan sembilan penjaja mengosongkan lokasi selepas lesen mereka dibatalkan pada 10 Januari lalu.
Notis pengosongan terakhir dikeluarkan pada 4 Julai, manakala tindakan perobohan dijadualkan 15 Julai, tetapi ditangguh susulan insiden kekecohan melibatkan seorang lelaki mengamuk bersenjatakan parang.
Datuk Seri Johari menjelaskan projek pembesaran Jalan 2/76D adalah penting bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menghubungkan laluan dari Selangor ke pusat bandar.
Namun katanya, pelaksanaan projek itu mesti mengambil kira keperluan rakyat, khususnya golongan penjaja.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha pula menyifatkan pendekatan berasaskan rundingan sebagai penyelesaian menang-menang, selaras dengan keperluan komuniti termasuk penduduk, pelajar, masjid dan perumahan kos rendah sekitar kawasan tersebut.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah memberi jaminan bahawa satu mesyuarat susulan akan diadakan bersama agensi berkaitan termasuk kerajaan negeri Selangor bagi memperhalusi keputusan serta memastikan pelaksanaan terbaik untuk semua pihak.