KUALA LUMPUR, 23 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan dua insiden melibatkan pengaruh agensi perisikan asing, termasuk kes penculikan warga Palestin dan pemilikan enam pucuk senjata api oleh kumpulan tertentu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata PDRM komited mengekang cubaan campur tangan luar yang boleh mengancam keselamatan serta kedaulatan negara.
Jelas beliau, pelbagai mekanisme pemantauan diperkukuh termasuk kawalan ketat di semua pintu masuk negara.
Lankah itu dilaksana dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKSEM) serta Interpol.
“PDRM juga beri perhatian serius kepada warga asing yang bermastautin lama di Malaysia termasuk berkhidmat sebagai perunding atau tenaga kerja profesional,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau menasihatkan komuniti Palestin di Malaysia supaya mengamalkan gaya hidup berprofil rendah dan segera melapor sebarang aktiviti mencurigakan.
Jelasnya, PDRM terus menjalinkan kerjasama strategik dengan agensi keselamatan tempatan dan antarabangsa melalui perkongsian maklumat dan kepakaran.
“Usaha bersepadu ini penting untuk memastikan keselamatan negara terjamin dan rakyat sentiasa dilindungi daripada sebarang ancaman luar,” katanya.