KUALA LUMPUR, 23 Julai - Bantuan tunai one-off RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disifatkan dapat membantu meringankan perbelanjaan harian rakyat.
Rata-rata orang ramai yang ditemui RTM berkata bantuan itu sedikit sebanyak memudahkan pembelian keperluan dapur untuk keluarga.
Di Terengganu, orang ramai menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan.
“Saya bersyukur sangat. Walaupun RM100, ia membantu saya membeli keperluan dapur untuk anak-anak. Terima kasih banyak-banyak kepada Perdana Menteri, saya rasa sangat gembira,” kata Sharifah Einadia Natrah Syed Ahmad seorang pekerja swasta.
Seorang lagi pekerja swasta, Mahirah Musa, turut meluahkan rasa terharu dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan.
Manakala lepasan SPM, Mohd Haziq Aufal Kamaruddin, berkata bantuan itu mengurangkan beban keluarganya untuk membeli barangan dapur.
Di Kelantan, pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri hari ini melambangkan keprihatinan kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas bantuan one-off RM100 melalui MyKad ini. Bukan sekadar angka, tetapi satu suntikan kelegaan kepada warganegara untuk mendapatkan keperluan asas dengan lebih mudah," kata Azira Mohd Zain, pekerja pasaraya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menghadiahkan sinar melalui SARA untuk Semua. RM100 yang disalurkan ini umpama sinar harapan, membolehkan kami membeli keperluan di pasar raya dan kedai pilihan tanpa rasa terbeban," kata Nik Irhamna Mazlan, pekerja pasaraya.
"Satu hadiah kecil yang membawa makna besar. Bantuan RM100 melalui MyKad ini memberikan rakyat nafas lega untuk memperoleh keperluan harian dengan lebih tenang dan berkeyakinan. Terima kasih banyak PM," kata Ahmad Norbaihaqi Atiqullah Ahmad Nor Zaki, pekerja kedai makan.
Di Melaka, rata-rata rakyat juga mengalu-alukan pengumuman khas itu.
“Terima kasihlah kepada PMX sebab prihatin kepada kehidupan rakyat, sebab sekarang ini ekonomi pun kian tak baik," kata Ng Yen Choo, seorang pekerja swasta.
“Perasaan kita happy lah, seronok dapat bantuan daripada Perdana Menteri. Terima kasih PMX atas bantuan yang diberikan, sedikit sebanyak ada membantu rakyat, insya-Allah," kata Muhammad Fareez Zaini Suzaini.
“Dengan keadaan sekarang ini, rakyat dari segi ekonomi perlu melihat banyak aspek secara holistik apa yang perlu dibantu, dan rakyat pun perlu juga bantu kerajaan," kata Muhamad Hafiz Jalil.
Bantuan SARA secara one-off bernilai RM2 bilion itu memanfaatkan 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas.
Setiap penerima boleh menggunakan bantuan ini mulai 31 Ogos hingga 31 Disember di lebih 4,100 premis termasuk Mydin, Lotus’s, Econsave dan 99 Speedmart.