PUTRAJAYA, 13 Jun - Malaysia secara konsisten dalam pendiriannya menyokong hak rakyat Palestin serta menjadi penaja bersama dan mengundi menyokong Resolusi Sesi Tergempar ke-10 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang diluluskan, semalam (12 Jun).
Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, keputusan itu mencerminkan sokongan moral dan politik masyarakat antarabangsa yang semakin meningkat ke arah merealisasikan keamanan dan kestabilan di Timur Tengah.
"Malaysia mengalu-alukan sokongan jelas dan padu masyarakat antarabangsa terhadap Palestin yang telah dizahirkan melalui sokongan kepada Resolusi Sesi Tergempar ke-10 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 149 negara anggota PBB telah mengundi menyokong resolusi ini," menurut kenyataan itu.
Malaysia turut menggesa Israel segera mematuhi undang-undang antarabangsa, melaksanakan gencatan senjata secara serta-merta, berkekalan dan tanpa syarat; menghentikan serangan terhadap orang awam; serta memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa sebarang halangan.
"Malaysia kekal teguh dalam solidariti bersama rakyat Palestin dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk meneruskan segala usaha bagi merealisasikan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara," kata kenyataan itu lagi.