KUALA LUMPUR, 13 Jun - Pendakwaan terhadap Muhammed Yusoff Rawther, 30, dijalankan secara teliti, berdasarkan bukti yang sah dan mengikut undang-undang, menurut Jabatan Peguam Negara hari ini.
Jabatan itu turut menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Yusoff semalam daripada semua pertuduhan di akhir kes pendakwaan.
Jabatan itu menegaskan tiada campur tangan dalam kes berkenaan dan mengingatkan orang ramai agar tidak membuat kenyataan berunsur spekulasi atau fitnah berhubung keputusan tersebut di luar skop alasan penghakiman.
“ Ini kerana tujuan sesuatu pendakwaan dijalankan adalah untuk memastikan keadilan tercapai berdasarkan bukti dan nas undang-undang,” menurut kenyataan tersebut.
Jabatan itu juga menyedari bahawa kes berkenaan telah menarik perhatian umum dan menjelaskan bahawa sepanjang prosiding, pendakwaan telah dilaksanakan dengan menjaga batas kebebasan dan integriti sistem perundangan negara.
“Pendakwaan telah dijalankan berdasarkan penelitian secara berhati-hati terhadap bukti yang tersedia dan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
“Pentadbiran keadilan hendaklah tidak dijelaskan melalui perbicaraan media (trial-by-media), sindiran awam, kedudukan atau persepsi,” tegas kenyataan itu.
Jabatan itu turut memaklumkan bahawa pihaknya akan meneliti keputusan kes berkenaan dan mempertimbangkan semua aspek sebelum membuat sebarang tindakan susulan.
“Jabatan ini kekal komited dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan akan terus melaksanakan tanggungjawab menurut Perlembagaan dengan berintegriti, saksama serta menghormati proses pengadilan,” katanya.
Selepas proses perbicaraan yang panjang, semalam (12 Jun) Mahkamah Tinggi memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan bekas pembantu penyelidik kepada seorang ahli politik itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Keputusan tersebut sekali gus menamatkan kes tersebut tanpa perlu tertuduh membela diri.