AYER KEROH, 13 Jun- Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memberi banyak cabang peluang pekerjaan khususnya kepada generasi muda.
Melalui pelbagai pameran yang disediakan pada Sambutan Hari TVET Negara, ia memberi pendedahan kepada golongan pelajar mengenai bidang berkenaan.
Pensyarah Abd Razak Razali yang ditemui RTM berkata, program seperti itu memperlihatkan kepada umum bahawa bidang TVET sebagai pelengkap dalam industri.
"Program-program sebegini memang perlu diadakan untuk memberikan pemakluman kepada pelajar-pelajar bahawa bidang TVET ini adalah satu bidang yang penting dalam industri.
"Jadi memang perlunya pemberitahuan kepada umum khususnya pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bidang kemahiran mempunyai peranan penting dalam industri," katanya.
Sementara itu pelajar institusi pengajian tinggi Nurhasya Afiyah Halil berkata, program TVET memberi ruang kepada pelajar untuk mengasah bakat dengan lebih terperinci.
"Dalam bidang kulinari kami belajar berkenaan pengajian makanan, asas masakan dan juga katering. Jadi kepada individu yang berminat dengan bidang seperti ini jangan malu untuk belajar," katanya.
Bagi Ku Muhammad Syahir Ku Sabri, bidang TVET merupakan bidang yang luas dan sesuai untuk semua golongan yang ingin menyambung pelajaran mengikut pengkhususan masing-masing.
"Kos ini memang banyak cabang. Saya ambil kursus dalam penyejukan dan penyaman udara, bidang ini juga meluas.
"Jadi semua pelajar lepasa SPM atau mereka yang sudah habis belajar memang sesuai untuk menyertai kursus ini," katanya.
Sambutan Hari TVET Negara berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh selama tiga hari berakhir hari ini.
Lebih 50 reruai pameran melibatkan pelbagai agensi disediakan pada program tersebut.