PUTRAJAYA, 11 Ogos – Malaysia dan Senegal sepakat memperkukuh kerjasama dua hala meliputi perdagangan, pelaburan, haji, waqf serta industri halal yang berpotensi besar untuk dibangunkan bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dizahirkan semasa menerima kunjungan hormat Menteri Integrasi Afrika dan Hal Ehwal Luar Senegal, Yassine Fall, pagi tadi.
“Perbincangan kami tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang strategik yang mampu memberi manfaat bersama,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, mereka turut bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, termasuk perkembangan di Asia Barat dan benua Afrika.
Menteri Integrasi Afrika dan Hal Ehwal Luar Senegal, Yassine Fall, mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia mulai hari ini.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, lawatan itu adalah timbal balas kepada lawatan rasmi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ke Senegal pada Mei 2024.