KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Datuk Fadil Marsus hari ini dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu, menggantikan Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad yang memangku jawatan berkenaan sejak 18 Julai lalu.
Pelantikan itu dimeterai menerusi majlis serah terima tugas di Dewan Sri Satria, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pagi tadi, disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa.
Datuk Fadil berkata beliau bertekad memastikan pasukan polis berada pada tahap terbaik dengan mengoptimumkan semua sumber dan memanfaatkan pengalaman luas dalam JSJ untuk menangani cabaran keselamatan di ibu negara.
"Pasukan akan bergerak aktif bersama dengan seluruh masyarakat. Peranan saya sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur bersama dengan timbalan bersama warga polis Kuala Lumpur, Insha-Allah akan 'all out' untuk pencapaian visi dan misi PDRM", katanya .
Sementara itu Datuk Rusdi dalam ucapannya berkata, pelantikan Datuk Fadil mencerminkan kepercayaan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kredibiliti serta daya kepemimpinan beliau.
Sebelum ini, Datuk Fadil memegang jawatan sebagai Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Pelantikan turut menyaksikan pelantikan Datin Nurashidah Ishak.sebagai Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Kuala Lumpur yang baharu.