fb fb fb fb fb

Malaysia sedia hantar satu batalion ATM ke Gaza

FOTO BERNAMA

PETALING JAYA, 15 Oktober – Malaysia menyatakan kesediaan untuk menghantar satu batalion Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menyertai misi pengaman di Gaza sekiranya mandat diberikan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, satu batalion khas ATM telah pun didaftarkan lebih awal dan bersedia digerakkan bagi membantu usaha menstabilkan keadaan serta memulihkan keamanan di wilayah itu.

“Semasa saya menyertai mesyuarat menteri-menteri negara yang mempunyai pasukan pengaman, kita bersedia dan memang niat kita pon nak berada nak membantu di sana tetapi kita tunggu kepada PBB, Majlis Keselamatan untuk membuat keputusan kalau Malaysia dipilih untuk menghantar, kita sudah bersedia dengan satu batalion,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Pelan Transformasi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) 2026–2035, hari ini.

Beliau menegaskan, batalion yang disediakan itu adalah berbeza daripada kontinjen Malaysia yang kini sedang berkhidmat dalam misi pengaman di Lubnan.

Tambah beliau, kos untuk menghantar pasukan ATM ke Gaza bukanlah keutamaan pada masa ini kerana yang lebih penting adalah usaha membantu rakyat Palestin yang menderita akibat konflik berpanjangan.

Jelas beliau lagi, Malaysia terus berpegang teguh kepada prinsip kemanusiaan sejagat sebagai dasar utama dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM