fb fb fb fb fb

Malaysia sasar teraju perubatan berteknologi tinggi di ASEAN

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 12 Disember- Malaysia menyasarkan untuk menjadi peneraju dalam pembuatan perubatan berteknologi tinggi dan inovasi penjagaan kesihatan di rantau ASEAN.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu perlu dilaksana dengan pantas, cekap dan telus ke arah memajukan penjagaan kesihatan dan integrasi kawal selia di rantau ini.

Antaranya disokong infrastruktur lebih baik, integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT) dan 5G perlu ditingkatkan dalam sistem penjagaan kesihatan.

"Dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang semakin hampir pada 2025, Malaysia komited sepenuhnya untuk memajukan Pengaturan Pengiktirafan Bersama (MRA) dan menerajui usaha bagi mewujudkan rangka kerja kawal selia yang lebih cekap dan bersepadu di rantau ini.

"Matlamat kita bukan sahaja untuk mengurangkan halangan pasaran bagi pengeluar, tetapi untuk meningkatkan kebolehcapaian peranti perubatan yang selamat dan berkesan, sekali gus meningkatkan penjagaan pesakit dan mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan bagi 680 juta rakyat di seluruh rantau ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 di ibu negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI