Malaysia-Rusia teroka kerjasama AI, digital dan keselamatan siber

Datuk Seri Anwar Ibrahim pada wawancara khas RT International di Rusia/RT International

KUALA LUMPUR, 18 Jun- Malaysia melihat potensi besar untuk memperluas kerjasama dengan Rusia dalam beberapa bidang baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), digital, keselamatan siber dan pertanian moden.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia menghargai sokongan Presiden Putin dalam memperkukuh hubungan dua hala.
  • Rusia menghormati komitmen hubungan walaupun berdepan cabaran sistem pembayaran akibat sekatan.
  • Pasukan berkaitan digerakkan untuk memudah dan mempercepatkan proses kerjasama antara Malaysia dan Rusia.

Perdana Menteri. Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bidang berkenaan merupakan antara ruang kerjasama yang boleh diterokai antara kedua-dua negara pada masa hadapan.

“Kita tahu terdapat potensi besar di Rusia yang masih belum diteroka sepenuhnya. Daripada digital kepada AI, keselamatan siber dan pertanian moden, ini semua bidang yang perlu kita terokai,” katanya dalam temu bual bersama RT International di Rusia.

Datuk Anwar berkata Malaysia menghargai sokongan Presiden Vladimir Putin terhadap usaha memperkukuh hubungan dua hala berkenaan.

Beliau berkata Rusia menghormati semua komitmen dalam hubungan dengan Malaysia walaupun berdepan cabaran berkaitan sistem pembayaran dan prosedur akibat sekatan.

“Kita tidak menemukan sebarang kes pelanggaran komitmen. Itu adalah fakta,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata hubungan Malaysia-Rusia mempunyai potensi besar untuk dikembangkan termasuk dalam bidang teknologi dan inovasi.

Beliau berkata pasukan berkaitan kini sedang digerakkan bukan sahaja bagi memudah cara, malah mempercepatkan proses kerjasama antara kedua-dua negara.

“Kita tahu, rakan dagang dan pelaburan nombor satu Malaysia masih Amerika Syarikat. Terdapat pertumbuhan besar dari segi perdagangan dan pelaburan dengan China, tetapi terdapat juga potensi besar dengan Rusia yang sedang berkembang walaupun masih belum diteroka sepenuhnya,” katanya.

Perdana Menteri berada di Kazan untuk lawatan kerja dua hari ke ibu negara dan bandar terbesar di Tatarstan, Rusia itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang berlangsung dari 17 hingga 18 Jun ini.

Lawatan berkenaan diadakan atas jemputan Presiden Vladimir Putin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.