fb fb fb fb fb

Malaysia-Rusia perkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan nuklear

MyPOWER meterai NDA dengan Rosatom Energy Projects untuk pembangunan nuklear/Foto Facebook Fadillah Yusof

MOSCOW, 28 Jun - Malaysia kini berada dalam fasa penting pelaksanaan Rangka Kerja Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan sedang mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga asas yang stabil, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, langkah itu selari dengan usaha negara dalam menjamin kelestarian bekalan tenaga sekali gus memenuhi komitmen jangka panjang terhadap perubahan iklim.

“Kajian pra-kebolehlaksanaan bagi tenaga nuklear sebagai sumber penjanaan elektrik telah pun disiapkan, dan berdasarkan dapatan positif kajian tersebut, Malaysia kini meneroka pelaksanaan tenaga nuklear secara berhati-hati dan terancang mengikut piawaian keselamatan, sekuriti dan prinsip bukan penyebaran senjata nuklear yang ditetapkan di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat dua hala bersama Ketua Pengarah Rosatam, Alexey Likhachev, dalam rangka lawatan kerja ke Persekutuan Rusia.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas sambutan mesra yang diberikan oleh pihak Rosatom Energy Projects selain berpeluang meninjau secara langsung kemudahan Loji Kuasa Nuklear Leningrad.

“Lawatan ini sangat berharga buat delegasi Malaysia dalam menilai keupayaan teknologi, kecekapan operasi dan standard keselamatan tinggi yang dilaksanakan Rosatom,” katanya.

Tambah beliau, Rosatom dilihat sebagai rakan strategik penting yang berupaya menyokong aspirasi Malaysia ke arah membangunkan program tenaga nuklear secara aman dan mampan.

MyPOWER meterai NDA dengan Rosatom Energy Projects untuk pembangunan nuklear

Dalam lawatannya itu, MyPOWER Corporation Malaysia telah menandatangani perjanjian tanpa pendedahan (NDA) dengan Rosatom Energy Projects dari Rusia untuk perkongsian pengetahuan dari segi pembangunan tenaga nuklear.

Katanya, kerjasama erat antara PETRA dan MyPOWER yang diiktiraf sebagai Nuclear Energy Programme Implementing Organization (NEPIO) oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) telah membawa kemajuan signifikan.

Perjanjian itu telah membuka ruang kepada penilaian lebih mendalam terhadap pelbagai teknologi nuklear termasuk potensi Floating Nuclear Power Plant (FNPP).

Katanya, MyPOWER juga telah diberikan mandat oleh kerajaan untuk meneruskan kerjasama teknikal bersama Rosatom

Ini termasuk menjejaki kemungkinan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) atau Perjanjian Antara Kerajaan (IGA) tertakluk kepada kelulusan kedua-dua pihak pada masa yang sesuai.

Selain itu, katanya, Malaysia turut berminat meneroka teknologi nuklear generasi baharu seperti Small Modular Reactors (SMRs) yang lebih fleksibel, berskala kecil dan sesuai digabungkan dengan sistem tenaga boleh baharu, termasuk di kawasan terpencil.

“Selain aspek teknologi, Malaysia memberi penekanan kepada pembangunan tenaga kerja mahir, pembangunan infrastruktur, penambahbaikan kawal selia, perkongsian pengetahuan teknikal dan libat urus awam yang berkesan,” katanya.

Fadillah menegaskan, Malaysia komited untuk mengambil pendekatan seimbang dan inklusif dalam merancang masa depan tenaga negara.

"Saya yakin dengan sokongan rakan strategik seperti Rosatom, pelaksanaan program tenaga nuklear yang selamat, bertanggungjawab dan lestari dapat direalisasikan.

“Kerjasama ini bukan sekadar membina hubungan antara dua negara, malah simbol komitmen bersama ke arah masa depan tenaga global yang lebih mampan dan berdaya tahan,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN