fb fb fb fb fb

Malaysia rugi RM3.4 bilion, ketirisan tenaga akibat perlombongan bitcoin

Akmal Nasrullah pada Majlis Pelupusan Barangan Rampasan Suruhanjaya Tenaga (ST) di pusat pembuangan dan pelupusan logam di Taman Industri Selesa Jaya, Balakong

SERI KEMBANGAN, 10 Julai- Kerajaan mengalami kerugian hampir RM3.4 bilion ketirisan tenaga melalui aktiviti perlombongan bitcoin sejak tahun 2018.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata walaupun kemungkinan peratusan kecil berbanding keseluruhan penggunaan tenaga tetapi nilai kerugian memberi impak menyeluruh kepada negara dan sektor tenaga.

“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini 2018 sampai 2023, RM3.4 bilion sepatutnya menjadi hasil kutipan tenaga itu hilang begitu saja jadi kos itu terpaksa ditanggung oleh kita semua sama ada melalui tarif dan sebagainya jadi sebab itu beban kepada pihak suruhanjaya tenaga pihak TNB adalah untuk mengurangkan kes kecurian ini supaya penggunaan tenaga itu pada tahap optimum,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Majlis Pelupusan Barangan Rampasan Suruhanjaya Tenaga (ST) di pusat pembuangan dan pelupusan logam di Taman Industri Selesa Jaya, Balakong, hari ini.

Turut hadir sama, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST, Ismail Zaili Yusop dan Ketua Pegawai Operasi ST, Ir Dr V Sanjayan.

Pada majlis itu, sebanyak 2,022 barangan rampasan bernilai RM2.2 juta dilupuskan selepas didapati gagal mematuhi beberapa syarat ditetapkan ST termasuk tidak mempunyai label keselamatan ST-SIRIM.

Antara barangan rampasan ialah 349 mesin bitcoin, 1,219 peralatan elektrik tanpa label keselamatan SIRIM-ST, selain 445 kelengkapan dan sembilan peralatan masing-masing daripada kes kecurian elektrik dan barangan terbabit dalam kes kemalangan elektrik.

ST memperoleh arahan untuk pelupusan barangan rampasan daripada Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 406A dan 407 Kanun Keseksaan Jenayah (Akta 593) membabitkan 46 Kertas Siasatan oleh suruhanjaya itu selepas selesai melalui proses mahkamah dan kompaun.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE