PUTRAJAYA, 10 Jun - Lawatan rasmi Presiden Republik Poland, Andrzej Duda ke Malaysia amat signifikan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan lawatan itu membuka peluang untuk meneroka potensi dan kerjasama dalam pelbagai bidang strategik.
Ini termasuk dalam bidang pertahanan, teknologi makanan, teknologi digital, tenaga boleh baharu dan teknologi hidrogen hijau.
Datuk Seri Anwar berkata peningkatan nilai dagangan antara kedua-dua negara merupakan satu pencapaian luar biasa.
Sekali gus, mempamerkan potensi besar dalam perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.
"Poland telah mencatat pertumbuhan luar biasa, amat mengagumkan dalam teknologi baharu, kecerdasan buatan digital, dan teknologi makanan." kata Datuk Seri Anwar.
"Ini telah menjadikan Poland sebagai rakan penting dalam Kesatuan Eropah, pemain utama dalam rantau ini,
"Saya menantikan untuk memperkukuh lagi kerjasama ini dalam bidang pertahanan, teknologi makanan, pelaburan teknologi, teknologi digital, tenaga boleh baharu, dan kepakaran baharu dalam hidrogen hijau."
Datuk Seri Anwar berkata demikian pada sidang media di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.